Sunday, August 16, 2015

Antara Wahyu Nubuwwah dan Akal yang Terbatas


Pernah suatu ketika, Umar gelisah apabila mendengar satu perjanjian di antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan kaum Musyrikin Mekah. Kata Umar, "Aku tidak pernah syak pada agama sehinggalah pada hari itu"

Perjanjian apakah ini? Perjanjian apakah yang telah membuatkan Umar resah dan gelisah ini?

Ya. Perjanjian Hudaibiyah. Satu perjanjian yang termenterai pada bulan Zulkaedah, tahun keenam hijrah.

Apakah isi-isi perjanjian Hudaibiah ini?
  1. Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya perlu pulang dahulu pada tahun itu tanpa memasuki Mekah. Nabi s.a.w. dan pengikut baginda hanya dibenarkan untuk masuk ke Mekah  setahun setelah perjanjian itu, dan dibenarkan tinggal selama 3 hari dengan syarat hanya membawa pedang dalam sarungnya.
  2. Gencatan senjata antara Mekah dengan Madinah selama 10 tahun.  
  3. Sesiapa yang ingin berikat janji dengan Nabi Muhammad s.a.w. berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin mengikat perjanjian dengan Quraisy juga berhak berbuat demikian.
  4. Penduduk Mekah yang pergi ke Madinah tanpa izin walinya harus dikembalikan ke Mekah.
  5. Sesiapa yang lari daripada Nabi Muhammad s.a.w. dan menyertai Quraisy tidak ditolak.

Setelah itu, Umar mendatangi Nabi s.a.w. lalu berkata,

"يا رسول الله، أليسنا على الحق وهم على الباطل؟"
Wahai Rasululullah, bukankah kita ini di atas kebenaran dan mereka itu di atas kebatilan?

Maka nabi s.a.w. menjawab,

"بلى"
Bahkan.

Umar menyambung,

"أليس قتلنا في الجنة وقتلهم في النار؟"
Bukankah mati kita ke syurga dan mati mereka ke neraka?

Nabi menjawab,

"بلى"
Bahkan.

Umar bertanya lagi,

"ففيمَ نُعطي الدنيَّةَ في ديننا ، ونرجعُ ولما يحكم اللهُ بيننا وبينهم؟"
 Kalaulah begitu, mengapa kita membenarkan kerendahan kepada agama kita dan pulang? Dan kenapa Allah menghukum di antara kita dan mereka sebegini rupa?

Ini kisah Umar. Tapi bukan Umar sahaja yang merasa sesak dada, bahkan kaum Muslimin yang lain juga. Tambah-tambah apabila anak kepada Suhayl, Abu Jandal yang telah memeluk Islam telah datang kepada mereka dan berkata,
"Wahai Kaum Muslimin, apakah kamu mahu aku diseret kembali ke dalam kaum Musyrikin untuk difitnahkan kepadaku (merosakkan agamaku)?"
Setelah itu, Abu Jandal diheret oleh ayahnya sendiri ke Mekah. Peristiwa ini benar-benar menyebabkan kaum Muslimin sedih.

Sehinggakan selepas selesai perjanjian Hudaibiah itu, Nabi s.a.w. menyeru kepada kaum Muslimin, "Ayuh, sekarang kamu boleh bersembelih." Namun, tiada seorang pun yang bertindak walaupun nabi mengulangi seruan itu sebanyak tiga kali. Hal ini kerana mereka berasa buntu dan sesak dengan perjanjian yang telah termenterai sebentar tadi. Nabi s.a.w masuk ke dalam khemah baginda dan menceritakan hal itu kepada Ummu Salamah. Maka Ummu Salamah menyarankan Nabi s.a.w. tetap menyembelihkan korban dan bercukur. Lalu Nabi s.a.w keluar dan melakukan perkara itu tanpa berkata-kata walau sepatah. Setelah melihat perbuatan Nabi s.a.w itu, barulah para sahabat mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi.

Mengapakah hal ini terjadi? Mengapakah sahabat-sahabat kelihatan seperti ragu-ragu dengan perjanjian ini?

Hal ini kerana pada ketika itu mereka menilai dengan akal yang terbatas. Mereka menghitung dengan perhitungan manusia biasa. Sedangkan nabi bertindak berlandaskan wahyu Allah. Ya. Nabi juga pernah bertindak mengikut cara keupayaan akal manusia. Tetapi, pada ketika itu, tindakan menyetujui perjanjian ini ialah wahyu daripada Allah.

Namun, kebimbangan sahabat-sahabat nabi s.a.w. ini hanya sebentar.

Turun firman Allah yang mendamaikan hati para sahabat dan mengukuhkan iman mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

"إنا فتحنا لك فتحا مبينا"
Sesungguhnya kami menangkan engkau dengan satu kemenangan yang nyata.
(Surah al-Fath:1) 

Rasulullah s.a.w. menyampaikan ayat ini kepada Umar dan Umar lantas berkata, "Wahai Rasulullah, apakah itu satu kemenangan?" Jawab Rasulullah, "Ya". Maka tenanglah Umar. Dan pada masa yang sama, terbit satu penyesalan yang amat besar dalam hati Umar atas sikap beliau tadi. Umar berazam untuk melakukan kerja-kerja amal, terus bersedekah, berpuasa, sembahyang dan memerdekakan hamba sahaya bagi menggantikan tindakannya pada hari itu. Umar sangat takut atas keceluparan kata-katanya. Namun, perlulah diingat, bahawa, Umar hanya mengajukan persoalan yang bermain di fikirannya dan tidaklah Umar mengharapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan Islam.

Dan ketika Abu Jandal melaung pertanyaan yang menyebabkan Umat Islam bersedih tu juga, nabi bersabda,
"Wahai Abu Jandal, sabarlah dan haraplah pahala daripada Allah. Sesungguhnya Allah akan memberi kepada engkau dan golongan mustadh'afin yang bersama dengan engkau jalan keluar. Dan kita telah mengikat janji (perjanjian damai) dengan mereka dan tidak seharusnya kita mengkhianati mereka."

Dan apa yang dijanjikan nabi ini terbukti benar, tatkala kaum Musyrikin Mekah sendiri yang memohon kepada nabi untuk digugurkan sedikit intipati perjanjian itu. Mereka sendiri memohon kepada nabi untuk membenarkan penduduk Mekah yang memeluk Islam untuk pergi ke Madinah dan bersama-sama dengan nabi s.a.w. Maka terbelalah nasib golongan mustadh'afin ketika itu.

Sungguh, terlalu banyak ibrah yang dapat dikutip daripada perjanjian Hudaibiyah.


Dan sungguh, Allah dan Rasulullah tidak akan pernah mensia-siakan kita.
Yakin. :)

Sumber:
ar-Raheeq al-Makhtum, Syeikh Sofiyur Rahman al-Mubarakfuri
Fiqh as-Sirah jilid 3, Syeikh Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti

17Ogos 2015/ 2 Zulkaedah 1436

No comments:

Post a Comment