Sunday, August 16, 2015

INFO HUDAIBIAH


Berlaku pada: Bulan Zulkaedah, tahun ke 6 Hijrah

Faktor: Wahyu Allah melalui Rasulullah s.a.w. (Nabi s.a.w. bermimpi bahawa baginda dan para sahabat memasuki al-Masjid al-Haram, memegang anak kunci, bertawaf dan melaksanakan umrah)

Angkatan ke Mekah:

1. Nabi Muhammad s.a.w.
2. Isteri baginda, Ummu Salamah
3. Kira-kira 1400 orang muslimin. (Dalam sesetengah pendapat 1500)

Peralatan yang dibawa: Senjata untuk bermusafir iaitu pedang-pedang bersarung. (Yiada senjata untuk berperang.


Perjalanan Nabi s.a.w. :

1. Nabi memulakan perjalanan ke Mekah pada 1 Zulkaedah tahun 6 hijrah menaiki unta nabi yang bernama al-Qaswa'
2. Nabi s.a.w. berhenti di Zu al-Halifah (sebagai miqat makani/ tempat permulaan ibadat) disertai dengan pakaian ihram untuk menandakan bahawa kedatangan mereka bukan untuk berperang.
3. Nabi s.a.w. menghantar Basyar ibnu Sufyan (seorang Musyrik) untuk merisik berita mengenai Quraisy.
4. Basyar ibnu Sufyan menyatakan bahawa kabilah Kaab bin Lu'ai telah menghimpun orang awam al-Ahabisy untuk memerangi Rasulullah.
5. Nabi s.a.w. bersyura dengan para sahabat untuk memutuskan tindakan seterusnya.
6. Mereka bersetuju untuk meneruskan perjalanan ke Baitullah, dan sesiapa yang menghalang mereka akan diperangi.
7. Nabi s.a.w. dan para sahabat berpaling daripada sekatan orang awam al-Ahabisy.
8. Pihak Quraisy berserta 200 askar berkuda di bawah pimpinan Khalid al-Walid menunggu nabi s.a.w. di jalan utama untuk masuk ke Mekah bagi memerangi baginda.
9. Nabi s.a.w. dan para sahabat menukar jalan yang dilalui mereka. Mereka megambil jalan yang sukar di celah lorong-lorong bukit terus ke dataran Hudaibiyah.
10. Apabila Khalid melihat pasukan Islam menyimpang daripada jalan yang ditunggunya, dia segera memacu kuda dan menemui Quraisy untuk meberi ingatan.
11. Setelah tiba di al-Marar, unta tunggangan baginda berhenti. Rasulullah s.a.w. bersabda, "al-Qaswa tidak berdegil kerana ini bukan perangainya. Tetapi ia telah diberhentikan oleh kuasa yang telah menghentikan gajah-gajah dahulu (ashabul fil)."
12. Nabi s.a.w. menyergah unta baginda lalu unta tersebut menuju ke arah hujung Hudaibiah, berdekatan dengan sebuah kolam air. Para sahabat sangat haus lalu meminum air tersebut sehingga habis. Rasulullah s.a.w. menarik panah dari uncangnya dan menyuruh para sahabat memacaknya di dalam kolam. Maka keluarlah air yang memenuhi keperluan mereka semua.

Orang Tengah di antara Rasulullah s.a.w. dengan pihak Quraisy:

1. Budail bin Warqa' al-Khuzai'
2. Mikraz bin Hafs
3. al-Hulais bin Alqamah
4. Urwah bin Mas'ud al-Thaqafi
5. Suhayl bin Amru

Duta Rasulullah s.a.w. ke Mekah untuk meyakinkan Quraisy tentang pendirian mereka: Uthman bin Affan

Khabar angin yang tersebar: Pembunuhan Uthman bin Affan

Kesan khabar angin tersebut:
1. Baiah ar-Ridhwan
2. Menimbulkan kecemasan pihak Quraisy
3. Suhayl bin Amru datang kepada nabi untuk mengadakan perjanjian damai (Hudaibiah)

Intipati:
  1. Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya perlu pulang dahulu pada tahun itu tanpa memasuki Mekah. Nabi s.a.w. dan pengikut baginda hanya dibenarkan untuk masuk ke Mekah  setahun setelah perjanjian itu, dan dibenarkan tinggal selama 3 hari dengan syarat hanya membawa pedang dalam sarungnya.
  2. Gencatan senjata antara Mekah dengan Madinah selama 10 tahun.  
  3. Sesiapa yang ingin berikat janji dengan Nabi Muhammad s.a.w. berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin mengikat perjanjian dengan Quraisy juga berhak berbuat demikian.
  4. Penduduk Mekah yang pergi ke Madinah tanpa izin walinya harus dikembalikan ke Mekah.
  5. Sesiapa yang lari daripada Nabi Muhammad s.a.w. dan menyertai Quraisy tidak ditolak. 
Sumber:
ar-Raheeq al-Makhtum, Syeikh Sofiyur Rahman al-Mubarakfuri
Fiqh as-Sirah jilid 3, Syeikh Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti

17Ogos 2015/ 2 Zulkaedah 1436

Antara Wahyu Nubuwwah dan Akal yang Terbatas


Pernah suatu ketika, Umar gelisah apabila mendengar satu perjanjian di antara Nabi Muhammad s.a.w. dengan kaum Musyrikin Mekah. Kata Umar, "Aku tidak pernah syak pada agama sehinggalah pada hari itu"

Perjanjian apakah ini? Perjanjian apakah yang telah membuatkan Umar resah dan gelisah ini?

Ya. Perjanjian Hudaibiyah. Satu perjanjian yang termenterai pada bulan Zulkaedah, tahun keenam hijrah.

Apakah isi-isi perjanjian Hudaibiah ini?
  1. Nabi Muhammad SAW dan pengikutnya perlu pulang dahulu pada tahun itu tanpa memasuki Mekah. Nabi s.a.w. dan pengikut baginda hanya dibenarkan untuk masuk ke Mekah  setahun setelah perjanjian itu, dan dibenarkan tinggal selama 3 hari dengan syarat hanya membawa pedang dalam sarungnya.
  2. Gencatan senjata antara Mekah dengan Madinah selama 10 tahun.  
  3. Sesiapa yang ingin berikat janji dengan Nabi Muhammad s.a.w. berhak berbuat demikian dan sesiapa yang ingin mengikat perjanjian dengan Quraisy juga berhak berbuat demikian.
  4. Penduduk Mekah yang pergi ke Madinah tanpa izin walinya harus dikembalikan ke Mekah.
  5. Sesiapa yang lari daripada Nabi Muhammad s.a.w. dan menyertai Quraisy tidak ditolak.

Setelah itu, Umar mendatangi Nabi s.a.w. lalu berkata,

"يا رسول الله، أليسنا على الحق وهم على الباطل؟"
Wahai Rasululullah, bukankah kita ini di atas kebenaran dan mereka itu di atas kebatilan?

Maka nabi s.a.w. menjawab,

"بلى"
Bahkan.

Umar menyambung,

"أليس قتلنا في الجنة وقتلهم في النار؟"
Bukankah mati kita ke syurga dan mati mereka ke neraka?

Nabi menjawab,

"بلى"
Bahkan.

Umar bertanya lagi,

"ففيمَ نُعطي الدنيَّةَ في ديننا ، ونرجعُ ولما يحكم اللهُ بيننا وبينهم؟"
 Kalaulah begitu, mengapa kita membenarkan kerendahan kepada agama kita dan pulang? Dan kenapa Allah menghukum di antara kita dan mereka sebegini rupa?

Ini kisah Umar. Tapi bukan Umar sahaja yang merasa sesak dada, bahkan kaum Muslimin yang lain juga. Tambah-tambah apabila anak kepada Suhayl, Abu Jandal yang telah memeluk Islam telah datang kepada mereka dan berkata,
"Wahai Kaum Muslimin, apakah kamu mahu aku diseret kembali ke dalam kaum Musyrikin untuk difitnahkan kepadaku (merosakkan agamaku)?"
Setelah itu, Abu Jandal diheret oleh ayahnya sendiri ke Mekah. Peristiwa ini benar-benar menyebabkan kaum Muslimin sedih.

Sehinggakan selepas selesai perjanjian Hudaibiah itu, Nabi s.a.w. menyeru kepada kaum Muslimin, "Ayuh, sekarang kamu boleh bersembelih." Namun, tiada seorang pun yang bertindak walaupun nabi mengulangi seruan itu sebanyak tiga kali. Hal ini kerana mereka berasa buntu dan sesak dengan perjanjian yang telah termenterai sebentar tadi. Nabi s.a.w masuk ke dalam khemah baginda dan menceritakan hal itu kepada Ummu Salamah. Maka Ummu Salamah menyarankan Nabi s.a.w. tetap menyembelihkan korban dan bercukur. Lalu Nabi s.a.w keluar dan melakukan perkara itu tanpa berkata-kata walau sepatah. Setelah melihat perbuatan Nabi s.a.w itu, barulah para sahabat mengikuti apa yang dilakukan oleh Nabi.

Mengapakah hal ini terjadi? Mengapakah sahabat-sahabat kelihatan seperti ragu-ragu dengan perjanjian ini?

Hal ini kerana pada ketika itu mereka menilai dengan akal yang terbatas. Mereka menghitung dengan perhitungan manusia biasa. Sedangkan nabi bertindak berlandaskan wahyu Allah. Ya. Nabi juga pernah bertindak mengikut cara keupayaan akal manusia. Tetapi, pada ketika itu, tindakan menyetujui perjanjian ini ialah wahyu daripada Allah.

Namun, kebimbangan sahabat-sahabat nabi s.a.w. ini hanya sebentar.

Turun firman Allah yang mendamaikan hati para sahabat dan mengukuhkan iman mereka kepada Allah dan Rasul-Nya.

"إنا فتحنا لك فتحا مبينا"
Sesungguhnya kami menangkan engkau dengan satu kemenangan yang nyata.
(Surah al-Fath:1) 

Rasulullah s.a.w. menyampaikan ayat ini kepada Umar dan Umar lantas berkata, "Wahai Rasulullah, apakah itu satu kemenangan?" Jawab Rasulullah, "Ya". Maka tenanglah Umar. Dan pada masa yang sama, terbit satu penyesalan yang amat besar dalam hati Umar atas sikap beliau tadi. Umar berazam untuk melakukan kerja-kerja amal, terus bersedekah, berpuasa, sembahyang dan memerdekakan hamba sahaya bagi menggantikan tindakannya pada hari itu. Umar sangat takut atas keceluparan kata-katanya. Namun, perlulah diingat, bahawa, Umar hanya mengajukan persoalan yang bermain di fikirannya dan tidaklah Umar mengharapkan sesuatu melainkan untuk kebaikan Islam.

Dan ketika Abu Jandal melaung pertanyaan yang menyebabkan Umat Islam bersedih tu juga, nabi bersabda,
"Wahai Abu Jandal, sabarlah dan haraplah pahala daripada Allah. Sesungguhnya Allah akan memberi kepada engkau dan golongan mustadh'afin yang bersama dengan engkau jalan keluar. Dan kita telah mengikat janji (perjanjian damai) dengan mereka dan tidak seharusnya kita mengkhianati mereka."

Dan apa yang dijanjikan nabi ini terbukti benar, tatkala kaum Musyrikin Mekah sendiri yang memohon kepada nabi untuk digugurkan sedikit intipati perjanjian itu. Mereka sendiri memohon kepada nabi untuk membenarkan penduduk Mekah yang memeluk Islam untuk pergi ke Madinah dan bersama-sama dengan nabi s.a.w. Maka terbelalah nasib golongan mustadh'afin ketika itu.

Sungguh, terlalu banyak ibrah yang dapat dikutip daripada perjanjian Hudaibiyah.


Dan sungguh, Allah dan Rasulullah tidak akan pernah mensia-siakan kita.
Yakin. :)

Sumber:
ar-Raheeq al-Makhtum, Syeikh Sofiyur Rahman al-Mubarakfuri
Fiqh as-Sirah jilid 3, Syeikh Muhammad Sa'id Ramadan al-Buti

17Ogos 2015/ 2 Zulkaedah 1436

Monday, July 27, 2015

CINTA DI RUMAH HASSAN AL-BANNA








Bismillah. :)

Rata-rata kita mesti kebanyakannya pernah dengar nama al-Imam Hassan al-Banna, kan? Kalau pun tidak tahu banyak, namanya pasti pernah terdengar di telinga masing-masing.

Nama penuh al-Imam Hassan al-Banna ini ialah Hassan bin Ahmad bin Abdul Rahman al-Banna. Pengasas Ikhwanul Muslimun ataupun dikenali sebagai ikhwan atau IM.


Hebatnya syeikhul ad-dakwah Hassan Al-Banna ini bukan dalam bidang dakwah semata, tapi juga dalam mengurus keluarga. Sangat sistematik!  
Kata Saiful Islam (anak beliau) : 
"Dia -ayah- mempunyai kemampuan yang membuatkan kami patuh tanpa perlu diperintah untuk mentaatinya."

A little bit to share:



CINTA DI RUMAH HASSAN AL BANNA





Kata Hassan Al banna, keluarga ialah objek nombor satu dakwah yang perlu diberikan perhatian. Antara perkara yang Hassan al-Banna aplikasikan kepada anak-anak beliau:

1. Membuat perpustakaan mini di rumah. 

2. Memberi wang bulanan kepada anak-anak untuk membeli buku. 

3. Menyediakan carta berkenaan setiap anak beliau yang mengandungi:
-Tarikh & sejarah kelahiran.
-Nombor kelahiran
-Jadual pemberian ubat & makanan
-Surat keterangan doktor
-Penyakit
-Ijazah
-Prestasi anak-anak di sekolah

4. Membawakan bekal untuk anak-anak ke sekolah. 

5. Ajar anak-anak untuk infaq sejak kecil (hassan al banna memberikan 10 ma'adin untuk anak-anaknya infaqkan pada hari jumaat & utuskan seorang ahli ikhwan utk mengintip cara anak-anaknya menginfaqkan wang yg diberikannya itu)

6. Menasihati anak-anak secara tidak langsung (bukan dengan kata-kata yang direct) supaya segala perkara yang dilakukan itu terbit daripada diri anak-anak beliau sendiri. Bukan dari tekanan atau paksaan. 

7. Minta anak-anak menyemak bacaan Al-Quran beliau. (Cara beliau mengajar dan mendidik anak2 untuk membaca al Quran secara tidak langsung) 

8. Ajar anak-anak untuk bersosial/ berinteraksi sewajarnya dgn masyarakat. 

9. Menjadikan anak-anak setiausaha peribadi dalam usaha untuk mendidik anak-anaknya.

10. Tiada suara keras di rumah. Beliau tidak pernah marah di rumah. Hassan al banna membina 
suasana tafahum.

11. Memperuntukkan masa untuk menemani anak-anaknya sewaktu cuti.

12. Berdialog dengan anak-anak.

13. Mempunyai hubungan yang baik dengan pihak sekolah & kerap bertanya keadaan anak-anak di sekolah. 

14. Mengarahkan guru-guru untuk menekankan beberapa aspek yang kadang-kadang dianggap kurang penting.

15. Membiarkan anak-anak untuk melakukan beberapa perkara sendiri, untuk ajar mereka berdikari.

Wallahu A'lam. Nak tahu lagi sila la baca buku ni ye. :)


Saaangat Menarik!

Saturday, July 25, 2015

Menulis lagi

 
 
Sudah lama aku tidak menulis. 
Sudah lama aku tidak mencoret kata. 
Sudah lama aku senyap tanpa bicara..
Terlalu banyak rasa yang berkecamuk di dada!

Baiklah, cukup!

Mungkin sudah tiba masa untuk aku bangun. 
Mungkin sudah tiba masa untuk aku kembali berkata-kata,
Setelah satu tempoh masa bisu (bagi aku) yang amat panjang dan memedihkan.

Kadang-kadang seseorang perlukan satu masa untuk dia diam sebentar, berfikir dan mengkaji. 
Agar dengan itu, dia dapat mencari dirinya,
Agar dia sedar siapa diri dia di sisi Tuhannya,
Agar dia sedar untuk apa dia dihidupkan di dunia,
Agar dia sedar dalam dunia seperti apa yang dia sedang berpijak sekarang ini,
Agar dia tahu apa yang perlu menjadi prioritinya,
Agar dia tahu, matinya nanti untuk apa,
Dan agar dia tahu, dalam keadaan yang manakah kematian harus menjemputnya!

Ya. Dan tempoh masa untuk diam itu harus ada penghujungnya,
Agar hidupnya dia itu bukan sekadar seperti monyet-monyet di hutan,
Agar dia tidak menjadi si bisu yang tidak bermanfaat untuk masyarakat,
Bahkan tidak bermanfaat kepada satu orang pun di sekelilingnya,
Nauzubillahi min zalik.


Sungguh, aku mahu berjumpa Tuhan dalam keadaan yang paling mulia!

Oleh itu, aku dahulu yang harus memuliakan hidupku.

Aku mahu menjadi manusia yang dicintai Tuhan. Dan aku mahu mencintai Tuhan.
Dengan sebenar-benar cinta. Dengan seinfiniti cinta!
[credit]

Kata-kata aku. Tuhan akan uji. Juga kata-kata kamu. 

Tetapkan matlamat. Laraskan perancangan. Dan terus jalan!

Bismillah!

[credit]

 Katakanlah aku beriman dengan Allah dan tetap teguhlah!